Gabenor Wilayah Pampanga, Lilia Pineda berkata, tiga mayat dikeluarkan dari sebuah bangunan empat tingkat di bandar Porac, manakala seorang wanita dan cucunya dihempap di bandar Lubao.

“Kami percaya masih terdapat mangsa yang terperangkap di bawah bangunan empat tingkat ini,” kata Pineda sambil menambah, seramai 20 orang diselamatkan setakat ini dan dibawa ke hospital.

“Operasi menyelamat sukar kerana bekalan elektrik terputus. Kami masih cuba mendapatkan generator bagi membantu usaha menyelamatkan orang ramai yang terperangkap,” katanya.

Gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter melanda rantau itu pada pukul 5.11 petang (waktu tempatan) hari ini pada kedalaman 40 kilometer di bawah tanah, demikian menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Gegaran itu berpusat di bandar Castillejos, sekitar 100 kilometer ke barat laut Manila.

“Ini merupakan gempa bumi kedua paling kuat pernah saya alami seumur hidup saya. Kami semua bimbang tetapi tidak panik,” kata seorang pekerja pejabat berumur 21 tahun, Feliza Villanueva dan empat rakan sekerjanya.

“Kami merancang untuk mengosongkan bangunan pejabat kami, namun ramai orang menuruni tangga, jadi kami terpaksa menunggu giliran. Penghuni bangunan rata-rata kelihatan terkejut tetapi mereka tidak menjerit,” katanya. - AFP