Tertuduh, S. Vigane Swaran, 52; S. Mangaswaran, 37; S. Sivakumar, 37; M. Arun, 25, dan A. Yeohvan Louis, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret V. Vanita.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh dengan sengaja menghalang tugas Sarjan Yusof Md. Medak menjalankan fungsi jawatannya dengan membuat pemeriksaan pada bahagian bonet kenderaan polis MPV NS 357.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chung Hwa Rantau dalam daerah Seremban kira-kira pukul 6 petang pada 13 April lalu.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad.

Vigane Swaran, Mangaswaran dan Sivakumar diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Farzana Sahudin, manakala Arun dan Yeohvan Louis diwakili peguam V. K. Indran.

Majistret membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 31 Julai ini sebagai sebutan semula kes.

Kosmo! Online pada 14 April lalu melaporkan polis memburu lima lelaki dipercayai penyokong sebuah parti politik kerana menahan dan memeriksa MPV polis di hadapan pusat mengundi di SJKC Chung Hua di Rantau.

Polis mengenal pasti lima lelaki terbabit berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial serta laporan yang dibuat oleh anggota polis terlibat.

Lima lelaki berkenaan meminta anggota polis membuka but MPV tersebut kerana disyaki membawa kertas lebihan undi dan anggota polis terpaksa memenuhi permintaan mereka untuk mengelakkan kekecohan. - K! ONLINE