Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua pelajar berkenaan yang disyaki terlibat dalam kes buli berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah kira-kira pukul 4 petang semalam oleh pihak sekolah.

“Kita minta kerjasama pihak sekolah untuk membawa kesemua pelajar yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut untuk dibawa ke pihak polis bagi membantu siasatan.

“Kesemua pelajar tersebut diambil keterangan dan dilepaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 10 malam tadi,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, Isnin lepas, dua pelajar lelaki tingkatan satu berkenaan mengalami kecederaan di bahagian badan serta kepala selepas ditendang dan dipukul oleh sekumpulan pelajar senior yang memakai penutup muka di bilik menonton televisyen di sebuah blok asrama sekolah berkenaan.

Berikutan kejadian itu, tiga pelajar tingkatan tiga telah ditahan untuk diambil keterangan, Rabu lalu bagi membantu siasatan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama. - Bernama