Perdana Menteri, semasa melancarkan LIMA'19 hari ini, berkata langkah menganjurkan LIMA perlu memandangkan Malaysia kini menjadi terkenal dan dikenali sebagai pameran maritim dan aeroangkasa utama di rantau Asia Pasifik.

"Sebagai ahli Parlimen Langkawi , tentunya bangga dapat menyaksikan edisi LIMA kali ini yang masih menarik peserta maritim dan aeroangka antarabangsa serta perniagaan dari setiap pelusuk dunia.

"Edisi ke-15 LIMA mengimbau kembali edisi 1991 apabila saya melancarkan Rangka Tindakan Pembangunan Industri Aeroangkasa Pertama di Malaysia.

"Ia merupakan satu langkah berani untuk sesetengah orang dan langkah awal bagi orang lain. Tetapi apabila melihat kepada apa yang kita ada sebelum ini dengan pembangunan aeroangkasa hari ini, ia adalah langkah penting untuk memastikan Malaysia seiring dengan pemangkin dan industri pesat berkembang, " katanya dalam ucapan perasmiannya.

LIMA'19 menyaksikan penyertaan 406 syarikat berkaitan pertahanan dan entiti komersil dari 32 negara yang melibatkan 206 syarikat tempatan dan 200 syarikat antarabangsa.

Edisi ke-15 LIMA dianjurkan bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan. - Bernama