Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, kesemua suspek yang diberkas berusia 24 hingga 59 tahun. 

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian dikatakan sepasukan anggota polis membantu Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi Op Roboh kandang lembu di kawasan tersebut. 

Katanya, pihak MPK terdahulu melakukan perbincangan bersama pemilik kandang serta 20 penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang berada di situ sebelum perobohan berlaku. 

Difahamkan, kandang lembu tersebut dibina di atas tanah rizab kerajaan sejak 16 tahun lalu dengan membela 150 ekor lembu dan 80 ekor kambing. 

"Pihak MPK kemudiannya telah berjaya masuk ke dalam tanah kandang lembu bersama jentolak walaupun masih ada bantahan daripada beberapa individu yang cuba menghalang tugas tersebut. 

"Bagaimanapun, semasa tugasan Op Roboh dilakukan salah seorang suspek yang merupakan penjaga lembu telah menghalang pihak polis daripada menjalankan tugasan kawalan dengan membaling air kencing dan tahi lembu kepada anggota polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 
 
Beliau memberitahu, empat lagi suspek telah mengadakan provokasi dengan menolak anggota polis yang bertugas sepanjang berlakunya perobohan tersebut. 

Jelas Shamsul Amar, kesemua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen Seksyen 186 Kanun Keseksaan.  

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan operasi kemudiannya ditangguhkan pukul 4 petang selama dua hari atas permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, G. Gunaraj dan telah dipersetujui oleh pihak Pejabat Daerah Klang. 

"Penangguhan tersebut dilakukan menerusi surat akujanji dari pengusaha kandang tersebut bagi mengeluarkan semua baki lembu yang ada sehingga 30 Ogos ini. 

"Sebahagian lembu telah dipindahkan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran bersama Veterinar MPK ke pusat tahanan haiwan di Pulau Indah," katanya. 

Sementara itu, Pejabat Daerah Tanah Klang dalam satu kenyataan memaklumkan arahan notis pengosongan telah dikeluarkan kepada pemilik lembu dan kambing tersebut pada 2 November 2006.

Katanya, ini berikutan kuil dan kandang lembu serta kambing itu telah didirikan tanpa kebenaran di atas rizab Masjid Komuniti Cina Muslim Selangor dan rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). 

"Seterusnya, satu notis perobohan tanah kerajaan sekali telah dikeluarkan pada 27 Ogos 2007  dan pemilik struktur diberi masa 14 hari untuk mengosongkan tanah kerajaan tersebut. 

"Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Jabatan Veterinar sebelum ini juga telah menawarkan tanah seluas masing-masing 1 hektar (ha) dan 2 ha di Batang Berjuntai serta Olak Lempit, Kuala Langat namun ditolak pemilik kandang tersebut," katanya. 

Jelasnya lagi, pihaknya terpaksa bertindak tegas dengan menjalankan operasi tersebut hari ini berikutan aduan lembu daripada kandang tersebut berkeliaran dan keperluan mendesak bagi Projek Tembatan Banjir Sungai Aur oleh JPS bagi mengurangkan banjir di kawasan Sentosa. - K! ONLINE