Muchlis Abdullah, 47, berkata, beliau dan keluarga bakal menyusuri lapan hingga 10 negara dan dijangka tiba di Jeddah pada Januari atau Mac tahun depan.

"Saya menjangkakan kami tiba di Jeddah dalam masa lima hingga tujuh bulan lagi," kata Muchlis kepada Bernama ketika ditemui di perkarangan Masjid Papan, Permatang Pauh di sini hari ini.

Kembara yang dinamakan 'Ziarah Qudsiyah Tanah Suci 2018' keluarga itu bermula pada 11 Julai dengan Muchlis dan anak sulung mereka, Mirza Hakim, 15, bertolak dari Jakarta manakala isterinya Julianti Husin, 47, dan dua lagi anak mereka, Ahmad Zaki Hafiz, 11, dan Oliva Yumna, 6, bertolak dari Medan.

Keluarga itu tiba di Malaysia pada 30 Julai dengan memasuki Melaka menggunakan perkhidmatan feri sebelum menyambung perjalanan berbasikal ke utara tanah air melalui Selangor, Perak dan Pulau Pinang. - Bernama