Bagaimanapun, tiada pengakuan dibuat berikutan lima suspek berusia 20-an itu tidak memahami Bahasa Melayu ketika berada dalam kandang tertuduh di hadapan Majistret Mohd. Hadi Hakimi Harun.

Lima warga Vietnam itu adalah Nguyen Van Hop, Ha Van Khanh, Pham Van Xuan, Nghiem Van Long dan Tran Xuan Thong.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memecah masuk premis iaitu Pasar Raya Kawang, Batu 12, Ayer Hitam sebelum mencuri wang tunai dalam peti besi pada 2 Julai 2018 kira-kira pukul 3 pagi.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan boleh didenda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz dan kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd. Hadi kemudian menetapkan semua tertuduh tidak boleh diikat jamin.

Mahkamah juga menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 19 September ini untuk melantik jurubahasa Vietnam

Pada Julai lalu, polis berjaya menumpaskan Geng Tebuk yang aktif dalam kejadian samun berkumpulan, pecah gudang serta pasar raya dengan menggunakan modus operandi menebuk peti besi simpanan membabitkan kerugian kira-kira RM100,000 sejak awal Jun lalu.

Geng Tebuk terbabit aktif melakukan jenayah di Kubang Pasu, Alor Setar, Sungai Petani, Yan dan Baling. - K! ONLINE