Kejayaan mengutip tiga mata itu membolehkan skuad kendalian B. Sathianathan yang sebelum ini berada di tempat kelima memintas kedudukan Kedah dan Melaka United.

Pelawat terlebih dahulu menguji gawang tuan rumah pada minit ke-14 namun rembatan Endrick Dos Santos tepat ke dakapan penjaga gol Felda United, Norazlan Razali.

Norazlan sekali lagi bertindak cemerlang apabila menepis keluar rembatan Mohd. Faiz Mohd. Nasir pada minit ke-32.

Selangor yang dilihat lebih banyak menguasai perlawanan akhirnya mendapat gol pendahuluan menerusi Sandro Da Silva.

Felda United melakukan perubahan taktikal pada separuh masa kedua apabila membawa masuk Muhammad Khairul Amri Mohammad Kamal dan Kei Ikeda untuk mengemudi jentera serangan.

Kerancakan tuan rumah melancarkan serangan bagaimanapun terhenti seketika apabila mereka dikejutkam dengan gol kedua Selangor hasil rembatan Ifedayo Olusegun pada minit ke-50.

Tuan rumah akhirnya mendapat suntikan semangat apabila Jocinei Schad menjaringkan gol pertama pada minit ke-63 untuk kedudukan 2-1.

Pemain gantian, Mohd. Amri Yahyah hampir meletakkan pelawat selesa di hadapan namun rembatannya pada minit ke-89 terkena tiang gol.

Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Selangor pulang dengan ceria apabila mengutip tiga mata di tempat lawan. - K! ONLINE