Pasukan pelawat terlebih dahulu memperolehi jaringan awal perlawanan apabila pemain penyerangnya, Diogo Luis Santo membawa masuk bola ke dalam kotak penalti sebelum menyepak masuk bola ke gawang PKNP FC menewaskan penjaga gol, Khairul Thaqif Shah Kamal Bashah pada minit ke-4.

Tersentak dengan jaringan tersebut, PKNP FC memperkemaskan rentak permainan dan hasilnya mereka memperolehi peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-14.

Jaringan tersebut diperolehi melalui pemain importnya, Ramon Da Silva Costa apabila mudah menolak masuk bola ke dalam gawang JDT selepas mendapat hantaran tandukan rakan sepasukan, Giancarlo Lopes Rodrigues.

JDT selepas itu mengasak PKNP FC dari pelbagai sudut bagi mencari jaringan kedua  namun berjaya dipatahkan barisan pertahanan tuan rumah.

Nasib tidak menyebelahi JDT apabila pemain tengah importnya, Gonzalo Cabrera gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-56 apabila sepakannya melambung tinggi melepasi palang gol PKNP FC.

Beberapa sepakan percuma dan percubaan daripada Harimau Selatan pada babak kedua turut dipatahkan PKNP FC.

JDT terpaksa bermain dengan sepuluh pemain apabila pemain tengahnya, Mohd. Afiq Fazail dilayangkan kad merah selepas mengasari pemain lawan pada minit ke-76.

Kelebihan buat tuan rumah tersebut gagal dimanfaatkan PKNP FC dan keputusan perlawanan yang sedikit panas antara kedua-dua pasukan yang terikat seri 1-1 dan terpaksa berkongsi satu mata.

Aksi panas dua pasukan itu berlanjutan sehingga tamat perlawanan apabila berlaku kekecohan seketika di tepi padang namun pemain kedua-dua pasukan berjaya ditenangkan beberapa minit kemudian. - K! ONLINE