Bermula babak pertama, pasukan tuan rumah terlebih dahulu menguji benteng Kuala Lumpur pada minit ke-4 melalui sepakan Raianderson Da Costa Morais atau Careca, namun tangkas ditepis penjaga gol pelawat, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli.

Pelawat turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi sepakan Guilherme De Paula Lucrecio dari luar kotak penalti pada minit ke-28 sedikit tersasar.

Gol yang dicari-cari The Bos Gaurus akhirnya muncul pada minit ke-31 menerusi sepakan mudah Careca di dalam kotak penalti selepas mendapat hantaran rakan sepasukan, J. Partiban.

Partiban sekali lagi memperoleh peluang untuk menjarakkan kedudukan pada minit ke-55 namun bola tendangannya sedikit tersasar walaupun pintu gol Kuala Lumpur terbuka luas.

Pemain gantian Perak, Kenny Pallraj menunjukkan aksi cemerlang membantu pasukan mendapatkan gol kedua apabila hantarannya dirembat kencang oleh Careca pada minit ke-67.

Gol saguhati Kuala Lumpur hadir pada minit ke-76 menerusi pemain import mereka, Luke Zantua Woodland apabila menendang bola masuk selepas situasi kelam-kabut di hadapan gol Perak.

Keputusan Perak tumpaskan Kuala Lumpur 2-1 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan. - K! ONLINE