Pelawat berjaya menguasai separuh masa pertama dengan memulakan asakan ke kubu pertahanan tuan rumah sejak awal permainan.

Kekebalan benteng pertahanan tuan rumah yang diketuai oleh Thiago Aquino menyebabkan pelawat berdepan kesukaran untuk menjaringkan gol.

Bagaimanapun, Aquino melakukan kesilapan pada minit ke-38 apabila menjatuhkan Cobin Ong di dalam kotak penalti dan Diogo Luis Santo dengan mudah menjaringkan gol pertama untuk JDT mendahului 1-0.

Felda United memulakan babak kedua dengan beberapa gerakan menarik namun gagal menembusi benteng pertahanan pelawat. 

Keghairahan tuan rumah memburu gol penyamaan akhirnya dihukum oleh pelawat apabila Diogo sekali lagi meledakkan gol kedua menerusi tendangan padu kaki kirinya pada minit ke-61.

Penyerang Felda United, S. Chanturu berpeluang menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-69 setelah melepasi perangkap ofside namun tendangannya melambung tinggi melepasi palang gol. 

Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan bagi membolehkan JDT pulang dengan tiga mata berharga di tempat lawan. - K! ONLINE