Penyerahan piala disampaikan oleh Ahli lembaga pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Mohd. Yusoff Mahadi kepada Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim sebelum diserahkan kepada pemain disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahrudin Jamal.

Majlis penyerahan piala Liga Super kemudiannya diikuti dengan perarakan Piala Liga Super oleh pemain, jurulatih termasuk pengurusan JDT ke sambutan kejuaraan Liga Super dari stadium ke Dataran Majlis Bandar Raya Johor Bahru (MBJB) di sini.

Pada majlis tersebut, pelbagai aktiviti dianjurkan oleh pengurusan Johor Southern Tigers termasuk larian “Fun Run” serta pertunjukan bunga api secara besar-besaran.

Sambutan tersebut turut diserikan dengan  persembahan daripada artis tempatan termasuk Joe Flizzow, Amy Search, K-Clique dan Amelia Handerson. Turut hadir membuat persembahan ialah artis luar negara, Rae Sremmurd.

Terdahulu, skuad JDT, juga menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) selepas berjaya mengekalkan kejuaran berprestij Malaysia selama enam musim berturut.

Sijil MBOR disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif badan pengiktiran itu, Christopher Wong  kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor,  (PBNJ), Datuk Ismail Karim.

JDT disahkan pemenang liga selepas menduduki tahkta Liga Super dengan mengumpul sebanyak 52 mata meninggalkan pencabar terdekat Pahang FA dengan kedudukan 40 mata selepas tamat liga menentang Terengganu malam tadi. - K! ONLINE.