Katanya, jika pembayar cukai merasa tidak berpuas hati dengan cukai yang dikenakan, mereka mempunyai ruang untuk membantah dan mendapatkan penjelasan daripada LHDN.

"Sebenarnya apa-apa juga tindakan LHDN adalah mengikut prosedur, dan LHDN tafsir pun mengikut maklumat yang ada, oleh itu saya menyeru artis ke, apa ke, untuk melakukan taksiran yang diperlukan, kalau individu berkenaan datang ke pejabat LHDN, kita akan bagi perhatian.

"Semua pembayar cukai kami ikut prosedur dan setiap cukai yang dikutip itu dan jika tak puas hati pembayar ada ruang untuk membantah dan bawa perkara itu ke mahkamah dan itu yang kami laksanakan," katanya ketika ditemui pemberita pada program Tanggungjawab Sosial Korporat LHDN di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai luahan seorang pelakon, Datin Diana Danielle yang tidak berpuas hati selepas namanya disenarai hitam daripada keluar negara akibat mempunyai tunggakan cukai pendapatan dengan LHDN dianggarkan sebanyak RM350,000.

Abdul Manap juga menegaskan bahawa LHDN tidak mengambil tindakan mengenakan cukai terhadap segelintir pihak sahaja, sebaliknya semua individu sama ada artis, menteri dan timbalan menteri turut dikenakan cukai pendapatan.

Sebelum ini, Diana Danielle meluahkan rasa tidak puas hati mengenai perkara itu menerusi hantaran di akaun Instagram yang kemudiannya menjadi tular.

Dalam hantaran itu, pelakon tersebut mendakwa dia diminta membayar RM350,000 oleh LHDN sedangkan dia belum mengemukakan sebarang dokumen.

Malah, dia mendakwa LHDN tidak berhak memintanya membayar tunggakan cukai pendapatan itu sehingga agensi terbabit membayar 'hutang' sebanyak RM100,000 kepadanya yang dituntut daripada agensi terbabit sejak setahun lalu.

Diana memaklumkan dia hanya mengetahui dirinya dikenakan sekatan ke luar negara ketika mahu ke Jepun atas urusan kerja, baru-baru ini. - Bernama