Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Malaysia, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, lagu pendek yang dihasilkan itu boleh didapati dalam dua versi iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Menurut beliau, lagu pendek berdurasi 30 dan 60 saat itu akan disiarkan di stesen radio tempatan dan turut digunakan sebagai 'on hold ringing' panggilan masuk ke semua pejabat LHDN di seluruh negara.

"Kita memperkenalkan 'jingle' atau lagu pendek dalam usaha meningkatkan keberkesanan aktiviti promosi kesedaran cukai," katanya semasa Majlis Mesra LHDN Bersama Media Sarawak 2018 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, media memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan mesej mengenai kepentingan cukai pendapatan.

"Menerusi penyampaian mesej yang berkesan, rakyat di negara ini kini mempunyai kesedaran tinggi tentang tanggungjawab untuk mengisytiharkan pendapatan dan membuat pembayaran cukai," katanya lagi. - K! ONLINE