Seorang penduduk, Sim Seng San, 52, berkata, ketika kejadian pada pukul 1.25 pagi, dia terkejut selepas terdengar satu letupan kuat sebelum dia masuk untuk tidur.

"Ketika kejadian saya baru hendak masuk tidur dan tiba-tiba terdengar satu letupan kuat, saya keluar rumah untuk mencari apa yang berlaku dan bertanya khabar jiran.

"Lepas itu saya tengok bumbung rumah mengalami sedikit kerosakan sebelum mengetahui letupan itu berlaku datangnya dari projek Rapid di sini," katanya.

Seng San berkata, kejadian letupan kuat ini merupakan kali pertama sejak projek Rapid ini bermula iaitu lima tahun selain memaklumkan jarak Kampung Sungai Rengit dan tapak projek Rapid terletak kira-kira lima kilometer.

Dalam kejadian pada pukul 1.25 pagi itu, dua pekerja warga tempatan mengalami kecederaan selepas berlaku kebakaran di salah satu lot tapak projek Rapid Pengerang dan kini dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Kecemasan Perubatan Rapid.

Petronas dalam satu kenyataan memaklumkan kebakaran di satu lot tapak projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan  Petrokimia (Rapid) di Pengerang di sini awal pagi hari ini adalah terkawal.

Menurut kenyataan itu, penduduk tidak perlu bimbang kerana kebakaran berjaya dipadamkam dalam tempoh kira-kira 30 minit oleh anggota Bomba ERT Petronas Rapid. - K! ONLINE