Pegawai Khas Penyelaras Dun Tanjung Surat, Syed Abdullah Syed Abdul Mutalib berkata, kediaman mereka yang terjejas susulan kejadian letupan di satu lot tapak projek Rapid awal pagi tadi diminta segera menghubungi pihaknya agar tindakan dapat diambil.

"Setakat ini kita mendapat maklumat awal ada beberapa buah rumah penduduk sekitar mengalami kerosakan kecil namun kita masih mengumpul maklumat dan mengenal pasti penduduk di kawasan mana yang terjejas.

"Kita akan mengatur lawatan sekiranya kita mendapat maklumat itu dan kita akan berbincang dengan pihak Petronas bagi mengatasi masalah yang dialami penduduk," katanya ketika dihubungi di sini.

Terdahulu, Syed Abdullah turut memuat naik kenyataan meminta agar penduduk menghubungi beliau di talian 018-9044008 bagi memaklumkan sekiranya rumah mereka mengalami kerosakan selain membuat laporan polis.

Dalam kejadian pada pukul 1.25 pagi itu, dua pekerja warga tempatan mengalami kecederaan selepas berlaku kebakaran di salah satu lot tapak projek Rapid Pengerang dan kini dirawat sebagai pesakit luar di Pusat Kecemasan Perubatan Rapid.- K! ONLINE.