APAD dalam satu kenyataan berkata, penggantungan selama tujuh hari bermula hari ini sehingga syarikat tersebut mematuhi keperluan Kod Amalan Industri Keselamatan (ICOP Keselamatan) sepenuhnya.

Jelasnya, susulan nahas itu, satu Audit ICOP telah dijalankan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 9 April lalu.

“Siasatan yang dijalankan mendapati syarikat berkenaan gagal mematuhi keperluan ICOP Keselamatan. Ini adalah pelanggaran syarat yang ditetapkan di bawah Seksyen 22  dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. 

“Di bawah akta itu, keselamatan penumpang merupakan keutamaan terpenting. Semua pengendali pengangkutan awam darat perlu mendukung standard tertinggi di dalam mengendalikan kenderaan mereka,” katanya.

Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan, 12 orang maut selepas bas yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang di Jalan S8 Pekeliling dekat MASkargo Sdn. Bhd. (MASkargo) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 April lalu.

Kejadian pada pukul 11.10 malam itu mengorbankan lima warga Bangladesh, dua warga Nepal, empat orang wanita warga Indonesia dan seorang warga tempatan.

Sementara itu, menurut kenyataan itu, APAD tidak akan bertoleransi terhadap sebarang pelanggaran amalan keselamatan dan menegaskan bahawa pengendali yang gagal mematuhi keperluan ICOP Keselamatan.

Mereka yang melanggar amalan itu boleh dikenakan tindakan di bawah peruntukan undang-undang dan peraturan termasuk membatalkan lesen pengendali dan permit pengendali. -K! ONLINE