Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

"Pendakwaan terhadap suspek berusia 36 tahun itu akan dilakukan pada pukul 8.30 pagi di Mahkamah Sepang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jelas beliau, pada prosiding di mahkamah yang sama esok turut melibatkan dua individu iaitu seorang wanita warga Nigeria dan lelaki warga Pakistan masing-masing berusia 35 dan 38 tahun. 

Ujarnya, mereka akan dibebaskan dengan Bon Mahkamah. 

"Bon akan disempurnakan di Mahkamah Sepang pada tarikh yang sama (esok)," tegas beliau. 

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan misteri kehilangan Siti Kharina, 40, yang dilaporkan hilang pada 8 Mei lalu terjawab selepas mayatnya ditemui di sebuah rumah di Cyberjaya. 

Penemuan mayat Siti Kharina terbongkar selepas polis menerima maklumat daripada orang awam yang melihat darah mengalir keluar dari salah satu pintu kediaman terbabit kira-kira pukul 2.30 petang. - K! ONLINE