Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, mangsa, Ahmad Arshad, 76, ditemui rentung selepas dipercayai terperangkap dalam rumah yang terbakar, manakala isterinya, Tuminah Kadis, 78, bersama anak perempuannya, Nurul Huda Ahmad, 31, terselamat.

Menurut jiran mangsa, Mohamad Nazari Abd. Rashid, 43, dia menyedari kebakaran tersebut berlaku selepas mendapat panggilan telefon daripada isterinya memberitahu ternampak asap hitam dari arah rumah mangsa sewaktu keluar menghantar anak ke sekolah.

"Saya terus bergegas ke rumah mangsa yang juga makcik saya yang terletak kira-kira 500 meter di belakang rumah. Sebaik sampai, saya terkejut melihat api telah menjilat keseluruhan rumah kayu berkenaan.

"Syukur makcik dan anaknya terselamat, bagaimanapun suami makcik meninggal dunia dipercayai terperangkap dalam kebakaran tersebut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Pegawai Bomba Kanan I, Sabri Dahali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.14 pagi.

Katanya, seramai lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera LFRT dari balai bomba berkenaan telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran. Turut membantu adalah enam anggota bomba dengan sebuah jentera FRT dari BBP Sungai Besar.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10  minit untuk mengawal api sebelum kebakaran berjaya dipadamkan sepenuh kira-kira pukul 8 pagi. Rumah kayu kelas C berkeluasan kira-kira 144 meter persegi itu musnah dengan 90 peratus daripada terbakar.

"Kita telah menemui mayat seorang lelaki di bahagian ruang tamu dan mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dengan memberitahu punca kejadian masih dalam siasatan pihak bomba. - K! ONLINE