Tertuduh, Mohamad Khairul Imman Saaidin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Dia yang masih bujang dan bekerja di sebuah kedai makan didakwa melakukan khianat dengan api ke atas sebuah rumah milik suami kepada teman wanita tertuduh di Taman Desa Aman, Sungai Lalang di sini kira-kira pukul 5 pagi, 15 April lalu.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordiyanasari Omar dilakukan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dan seorang penjamin sebelum menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh turut berhadapan dengan dua pertuduhan lain membabitkan kes ugutan jenayah dan memiliki kad pengenalan milik individu lain iaitu teman wanitanya berusia 33 tahun tanpa kuasa sah dan sebab munasabah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini semalam. 

Bagi kes ugutan jenayah, Mohamad Khairul mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menakutkan secara jenayah terhadap suami teman wanitanya itu dengan mengugut mahu menyebabkan lelaki tersebut cedera parah di sebuah rumah di Taman Desa Aman kira-kira pukul 1.30 pagi, 25 Mac lalu.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan pada 9 Mei depan.

Sementara bagi kes memiliki kad pengenalan orang lain, Mohamad Khairul mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Desa Aman kira-kira pukul 11.30 pagi, 15 April lalu.

Bagi kes tersebut, tertuduh didenda RM2,600, jika gagal bayar lima bulan penjara. - K! ONLINE