Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, laporan mengenai kelahiran bayi itu dibuat oleh seorang doktor di Hospital Seberang Jaya yang merawat wanita terbabit.

"Wanita itu dihantar ke hospital oleh teman lelakinya kerana mengalami pendarahan dan doktor yang merawatnya mengesyaki dia baru melahirkan anak dan menyembunyikan kelahiran itu.

"Doktor itu menghubungi polis pada 7.20 pagi bagi melaporkan terdapat seorang pesakit menyembunyikan kelahiran dan teman lelaki wanita itu menanam anaknya di kawasan tanah perkuburan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, wanita itu mendakwa dia melahirkan bayi lelaki yang cukup sifat ketika kandungannya berusia lima hingga enam bulan awal pagi tadi, dan bayi itu dikatakan telah meninggal dunia.

Pasangan yang bekerja di sebuah hotel di George Town itu kemudian dikatakan membalut bayi berkenaan dengan kain pelekat sebelum menaiki motosikal ke tanah perkuburan di Bagan untuk menanamnya.

Wanita itu turut mendakwa hanya teman lelakinya masuk ke perkarangan Tanah Perkuburan Bagan Dalam, Butterworth dan menanam mayat bayi itu, manakala dia menunggu di motosikal, kata Nik Ros Azhan.  

Wanita itu dihantar ke hospital oleh teman lelakinya selepas didakwa menanam mayat bayi berkenaan.

Nik Ros Azhan berkata sepasukan polis bersama bahagian forensik telah ke tanah perkuburan Bagan Dalam itu untuk mencari mayat bayi berkenaan namun tidak menemuinya dan tiada kesan kubur baharu di situ.

Beliau berkata lelaki berusia 23 tahun itu dipercayai telah melarikan diri selepas menghantar teman wanitanya ke hospital dan polis kini giat mengesannya untuk siasatan lanjut terutama mengenal pasti lokasi sebenar mayat bayi berkenaan.

"Doktor yang merawat wanita itu mengesahkan terdapat kesan luka bersalin dan rahimnya juga kembang kesan daripada bersalin, dia kini ditahan di wad untuk rawatan lanjut dan polis akan mendapatkan perintah reman ke atasnya untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu atau mengenali lelaki berkenaan agar menghubungi polis bagi membantu siasatan. - Bernama