Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, kira-kira pukul 4.39 petang, mangsa telah meminta seorang lelaki warga tempatan untuk mengalihkan kenderaan milik suspek yang diletakkan di laluan keluar masuk tapak projek Lebuh Raya SUKE di sini.

“Pergaduhan tercetus apabila suspek tidak berpuas hati dengan teguran tersebut dan kemudiannya menghubungi rakannya untuk datang ke lokasi tersebut bagi membantunya menyelesaikan pertengkaran itu.

“Rakan mangsa yang datang tidak lama kemudian bertindak menumbuk dan kemudian menetak mangsa di bahagian belakang badannya sehingga menyebabkan kecederaan di muka dan belakang badannya sebelum beredar dari situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainuddin menambah, berdasarkan maklumat yang diterima daripada mangsa, Polis Kuala Lumpur telah menahan tiga lelaki warga tempatan berusia antara 23 hingga 25 tahun di sekitar bandar raya ini bagi membantu proses siasatan.

“Polis juga telah merampas sebilah pedang samurai yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (Akta 574), Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” ujarnya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian tersebut dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan untuk menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Muhammad Shahriman Othman di talian 017-6528746 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Cheras, Deputi Superitendan Zolkifli Mohd. Yasin di talian 019-2580008.

Semalam, sebuah video berdurasi lebih 20 saat tular di internet menununjukkan dua lelaki bertindak ganas dengan menumbuk dan melibas sebilah pedang samurai terhadap seorang pekerja Lebuhraya SUKE sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa akibat pertengkaran yang tercetus daripada perasaan tidak puas hati kepada mangsa. - K! ONLINE