Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Mohamad Fadzeli Che Husin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak hospital pada pukul 4 petang untuk mendapatkan bantuan mengangkat mangsa yang mengalami sakit kaki.  

“Sekumpulan enam anggota terus bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera termasuk sebuah lori lima tan. 

“Empat anggota menggunakan kudrat tenaga mengangkat kerusi roda yang dinaiki mangsa berusia 43 tahun yang mempunyai berat anggaran 150 kilogram itu ke atas lori berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Tambah Mohamad Fadzeli, mangsa yang mempunyai sakit kaki yang lama itu terpaksa dibawa menggunakan lori disebabkan badannya yang besar itu tidak dapat dibawa masuk ke dalam ambulans pihak hospital. 

“Anggota kemudian membawa mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak hospital. 

“Proses mengangkat dan menghantar mangsa ke hospital memakan masa selama 15 minit,” katanya. 

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.32 petang.  - K! ONLINE