Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, mangsa, Mohammad Nor Abu Seman, 53, yang berasal dari Kampung Padang Asun dekat sini dipercayai rebah sejurus berada di mesin ATM di bank berkenaan.

Pegawai Pertahanan Awam Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamarulzamal Kasa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.22 pagi sebelum tiba ke lokasi tersebut kira-kira empat minit kemudian. 

“Setibanya di sana, pemeriksaan mendapati nadi lelaki tersebut sudah berhenti berdenyut. 

“Beberapa minit kemudian pegawai perubatan hospital tiba dan kami menyerahkan kepada mereka untuk tindakan selanjutnya termasuk berkaitan urusan pengesahan kematian,” katanya di sini hari ini. 

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim ketika dihubungi berkata, semakan  televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati tiada unsur jenayah dan tidak ada pihak lain yang terlibat dengan kejadian itu. 

“Hasil pemeriksaan awal, mangsa didapati memiliki kad rawatan sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis," katanya. 

Menurutnya, punca kematian mangsa dipercayai akibat serangan darah tinggi.

Tambahnya, jenazah mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Jitra di sini dan kejadian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - K! ONLINE