Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, lelaki warga asing berusia 31 tahun itu diberkas kira-kira pukul 11 malam selepas menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa yang berusia 23 tahun dikatakan menempah Grab menggunakan aplikasi atas talian pada Isnin lalu dari pusat bandar Johor Bahru menuju ke Larkin.

"Mangsa dipercayai tersilap menaiki kereta suspek yang kebetulan melalui tempat mengambil penumpang tanpa memeriksa sama ada Grab yang ditempah itu betul atau tidak.

"Mangsa mula curiga selepas suspek memandu kereta berlegar-legar di kawasan bandar sebelum wanita itu menegur suspek dan suspek bertindak memberhentikan kereta di kawasan sunyi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Shahurinain berkata, mangsa mendakwa lelaki itu kemudiannya memasuki tempat duduk penumpang sebelum cuba merogol mangsa.

Katanya, wanita itu terus meronta dan keluar menyelamatkan diri sebelum tampil membuat laporan polis pada hari kejadian.

Jelasnya, sejurus melakukan siasatan polis berjaya mengesan kedudukan suspek dan berjaya menahannya di sekitar daerah ini semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 dan 511 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE.