Dalam kejadian itu, mangsa, Chan Kwai Wah, 57, dijumpai dalam keadaan terbaring di bahagian belakang rumah oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.12 malam sebelum sepasukan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dan Pasir Puteh bergegas ke lokasi kejadian.

"Sewaktu operasi pemadaman kebakaran dijalankan, mangsa ditemui dengan kesan kecederaan di bahagian kaki dalam keadaan terbaring di bahagian belakang rumahnya.

"Sewaktu kejadian, mangsa dipercayai bergerak menggunakan tangan untuk menyelamatkan diri berdasarkan kedudukannya yang berada di pintu belakang rumah semasa dijumpai," katanya.

Menurut Mohamad Yunus, Kwai Wah menyewa seorang diri di rumah tersebut.

Jelasnya, siasatan mendapati, rumah mangsa bersambung dengan rumah pemilik di bahagian hadapan.

“Kebakaran itu menyebabkan rumah mangsa musnah sebanyak 40 peratus

"Setakat ini, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran tersebut,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi memadam kebakaran tamat pada pukul 1.21 pagi. - K! ONLINE