Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa lelaki berusia 22 tahun telah didatangi oleh suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis ketika dia menghisap rokok di kawasan tempat letak kereta di hadapan hotel.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mustafa Bidin berkata, suspek telah meminta mangsa untuk menyerahkan beg kecil yang dipegang pada tangan dengan alasan untuk diperiksa.

"Kemudian suspek meminta kad pengenalan mangsa sebelum dia melarikan bersama beg mangsa ketika pemuda itu mahu masuk ke dalam hotel untuk mengambil kad pengenalannya.

"Suspek menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC sambil membawa barangan mangsa seperti beg, telefon Vivo V5 dan iPhone 7 plus serta power bank yang dianggarkan bernilai RM2,000," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun berjaya dicekup selepas polis dipandu arah menggunakan aplikasi Find My Phone selepas mangsa membuat laporan polis.

"Suspek berusia 51 tahun itu ditahan bersebelahan sebuah rumah di Jalan Bagan Lalang, Butterworth bersama barang yang dilarikannya tersebut.

"Polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha 135LC yang menggunakan nombor pendaftaran palsu daripada suspek yang mempunyai empat rekod jenayah dan satu rekod dadah lampau itu," katanya lagi.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 dan 170 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE