Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang itu, mangsa, Moh Woon Chai, 56, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian tersebut turut mengakibatkan seorang wanita Indonesia yang menaiki kereta jenis Toyota Corolla itu cedera.

Katanya, sebelum kejadian mangsa bersama wanita berkenaan dikatakan dalam perjalanan menuju ke pusat bandar Bintulu dari arah Kidurong.

"Bagaimanapun, malang menimpa mereka apabila kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di bahu jalan berkenaan.

"Kesan rempuhan itu telah mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, wanita yang bekerja sebagai pekerja restoran juga mengalami kecederaan sebelum dibawa ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, mayat mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya. - K! ONLINE