Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, kejadian pada 4 petang itu menyebabkan Wu Chan Kiong, 51, yang memandu Perodua Axia meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati Perodua Axia yang datang dari arah Kangkar Pulai menghala ke Pontian itu telah masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung secara berdepan dengan bas tersebut.

"Pelanggaran itu mengakibatkan Chan Kiong yang memandu kenderaan terbabit meninggal dunia akibat tersepit di dalam kenderaannya, manakala seorang kanak-kanak perempuan yang berada di bahagian penumpang belakang kereta mengalami cedera parah," katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, kanak-kanak tersebut dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di Kulai untuk dirawat dan polis sedang mengenalpasti identitinya.

Mayat Chan Kiong turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat, manakala pemandu bas yang berumur 35 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelas Noor Hashim, tiada saksi melihat kemalangan itu dan ia berlaku dalam keadaan cuaca baik.

Kes disiasat mengikut Sesyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama