Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, lelaki berusia 35 tahun maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan dipercayai dipukul dengan beberapa senjata.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, menurut saksi  yang juga seorang pekerja hotel sebelah tempat kejadian, dia melihat seorang lelaki sedang mengumpil pintu jeriji besi di bawah premis yang dihuni sekumpulan lelaki warga Bangladesh.

Katanya, sejurus kemudian saksi berkenaan terdengar suara pekerja Bangladesh menjerit memberitahu ada orang datang menyamun sebelum berlakunya pergaduhan antara suspek dan sekumpulan warga Bangladesh.

"Lelaki berkenaan (penyamun) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan akibat dipukul dengan pelbagai senjata.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui beberapa senjata antaranya sebilah pisau pemotong, kayu panjang serta besi penutup pintu hidraulik,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mazelan, pemeriksaan pada sebuah beg galas milik simati telah menjumpai beberapa barangan seperti kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, telefon bimbit jenis samsung, kunci kereta dan perkakas hisap dadah.

"Selain itu kita turut menemui sebuah kereta jenis proton saga warna emas milik mangsa yang terletak di lorong belakang sebuah hotel di kawasan berkenaan. 

"Semakan rekod mendapati lelaki terbabit mempunyai lima rekod termasuk kes samun di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan sekitar  tahun 2014 hingga tahun ini serta rekod jenayah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya pada tahun 2008,"katanya.

Tambah beliau, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 20-an yang merupakan penyewa utama rumah kedai terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 5 petang semasa menunggu penerbangan ke Dhaka, Bangladesh.

Jelasnya, pihaknya turut mengesan beberapa penyewa premis rumah kedai berkenaan bagi membantu siasatan kes tersebut. - K! ONLINE