Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintenden Azman Azman Shari’at berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.25 pagi itu, mangsa, Sulaiman Yahya, 54, yang menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna biru maut setelah mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Kemalangan tersebut berlaku apabila 4WD jenis Toyota Hilux yang dipandu oleh seorang wanita warga tempatan dari Sungai Choh ke arah Bukit Beruntung itu membelok ke kanan secara cuai untuk memasuki simpang tiga di lokasi kejadian.

“Akibatnya mangsa dari arah bertentangan tidak dapat mengawal motosikalnya lalu melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman menambah, mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh namun meninggal dunia semasa menerima rawatan susulan.

“Kedua-dua kenderaan tersebut rosak di bahagian belakang dan hadapan manakala wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian,” ujarnya. - K! ONLINE