Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda Civic di hadapan istana pada pukul 7.05 pagi tadi.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah kereta remuk teruk pada bahagian depan kerana dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan.

"Kereta itu yang datang dari arah Alor Setar menghala Kepala Batas kemudian terbabas ke kaki lima jalan hadapan kawasan istana seterusnya melanggar tembok hadapan istana," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pemandu kereta berkenaan masih belum dapat dikesan kerana menghilangkan diri semasa menerima rawatan di hospital.

"Pemandu itu dipercayai memandu dalam keadaan mabuk," tambahnya. - K! ONLINE