Mayat mangsa, Efendy Panil, 45, ditemui dalam keadaan tersangkut pada batang kayu reput di tebing sungai tersebut kira-kira pukul 6.40 pagi.

 

Pegawai Perhubungan Awam, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, Hafizul Samah berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 700 meter dari lokasi dia dibaham dan diseret seekor buaya, semalam.

Menurutnya, semasa dijumpai, anggota badan mangsa masih dalam keadaan sempurna, namun terdapat kesan calar di bahagian muka dan bahu sebelah kanannya.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kedua ditamatkan sejurus mayat mangsa dibawa ke Hospital Lawas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hafizul menambah, berdasarkan keterangan anak saudara mangsa, lelaki malang terbabit dikatakan sedang mengambil air di tebing sungai tersebut sebelum seekor buaya tiba-tiba menyambar dan menariknya ke tengah sungai dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu.

"Panik melihat situasi itu, dia kemudian memaklumkan insiden tersebut kepada orang kampung sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya," katanya. - K! ONLINE