Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, mayat mangsa warga tempatan yang berusia 25 tahun itu ditemui oleh seorang pekerja hotel yang sedang membuat pemeriksaan kira-kira pukul 8 pagi.

“Berdasarkan maklumat oleh pekerja hotel tersebut, mangsa mendaftar masuk ke hotel berkenaan kelmarin pada pukul 3.20 pagi bersama dua lelaki yang disyaki warga tempatan.

“Semasa mendaftar masuk, mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kedua-dua suspek memberitahu mangsa berada dalam keadaan mabuk. Suspek kemudiannya meninggalkan hotel tersebut pada pukul 8 pagi hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Dzaffir menambah, siasatan oleh unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati terdapat beberapa kesan lebam di bahagian muka, leher, dada, belakang badannya serta kaki mangsa.

“Tiada sebarang kesan luka terbuka pada tubuh mangsa dan polis juga tidak menjumpai sebarang objek yang boleh menjadi senjata untuk membunuh mangsa.

“Semakan rekod terhadap mangsa mendapati dia tiada sebarang rekod jenayah lampau atau dikehendaki polis. Warisnya masih dikesan bagi tujuan pengecaman mayat,” ujarnya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang untuk tujuan dibedah siasat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. - K! ONLINE