Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Yew Wei Liang, 41, selepas pertuduhan keatasnya dibacakan dihadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja di bahagian Teknologi Maklumat didakwa melakukan kesalahan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Syed Muhammad Danial antara pukul 1 hingga 2 petang di Kilometer 293.6 Lebuhraya Utara Selatan.

Pertuduhan keatasnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam S. Selvan (Daniel) dan Varghese Onny.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 September depan sebagai sebutan semula kes.Terdahulu, tertuduh tiba di perkarangan mahkamah pukul 9 pagi tadi dari Penjara Sungai Buloh dengan memakai baju kemeja T berwarna hitam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Syed Muhammad Danial, 29, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan kecil selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala arah selatan.

Difahamkan, kereta Syed Muhammad Danial melanggar bahagian belakang kereta suspek menyebabkan berlaku kejar-mengejar sehingga kenderaan mereka berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi.

Menurutnya, berlaku pergaduhan antara suspek sebelum mangsa yang dikatakan tidak berpuas hati keluar dari kenderaannya dengan membawa kayu besbol dan terus memukul bahagian hadapan kereta suspek.

Katanya, suspek kemudian menekan pedal minyak dalam keadaan tergesa-gesa lalu terlanggar Syed Muhammad Danial.

Kejadian itu menyebabkan Syed Muhammad Danial tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan sebelum dikejarkan ke Nilai Medical Centre oleh orang awam. - K! ONLINE