Tertuduh, Mohd. Roslan Baharom, 50, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin. 

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap tertuduh sementara menunggu laporan pengesahan senjata api dan peluru. 

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki selaras senapang patah buatan sendiri yang menyalahi undang-undang di sebuah rumah di Kampung Padang Jeri, Gerik dekat sini pada pukul 12 tengah hari 11 Mac lalu. 

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki 34 butir peluru hidup yang menyalahi undang-undang di tempat sama pada pukul 2 petang pada hari sama. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. 

Kosmo! pada 14 Mac lalu melaporkan, satu sindiket pemburuan dan penjualan hidupan liar yang aktif dan diburu agensi penguatkuasaan sejak sembilan tahun lalu tumpas selepas empat lelaki ditahan dalam satu operasi yang dijalankan di kawasan hutan Gerik di sini. - K! ONLINE