KEMAMAN  - Seorang lelaki diburu kerana disyaki memecah masuk sebuah kafe sebelum melarikan tabung derma berisi wang tunai dianggarkan RM400 di Bandar Baru Kerteh dekat sini kelmarin.

Kejadian suspek mencuri tabung derma milik sebuah pertubuhan anak yatim yang diletakkan berhampiran kaunter juruwang di kafe terbabit disedari pemiliknya, Mohd. Ridzwan Mohd Hanaffi, 31, sewaktu memerhatikan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pada pukul 5.30 petang semalam.

Mohd. Ridzwan berkata, berdasarkan rakaman CCTV tersebut, suspek memasuki premis perniagaan sebelum melarikan wang tunai dianggarkan berjumlah RM400 di dalam tabung derma itu pada pukul 1.40 petang, kelmarin.

"Kafe saya hanya beroperasi pada pukul 5.30 petang manakala bahagian depannya pula merupakan dobi layan diri 24 jam yang juga diusahakan oleh saya.

"Berdasarkan rakaman CCTV yang diperiksa, lelaki tersebut memasuki kawasan dobi layan diri sebelum memecah pintu kafe di belakangnya dengan pemutar skru," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Bandar Baru Kerteh dekat sini hari ini.

Mohd. Ridzwan berkata, suspek kemudiannya didapati memanjat kaunter juruwang sebelum memecahkan sebuah daripada dua tabung yang terdapat di situ. - K! ONLINE

Imej suspek yang memecah tabung derma sebelum melarikan wang tunai dianggarkan RM400 di sebuah kafe
Imej suspek yang memecah tabung derma sebelum melarikan wang tunai dianggarkan RM400 di sebuah kafe di Bandar Baru Kerteh dekat Kemaman Selasa lalu.