Suspek yang berumur 23 tahun dicekup di Kampung Bukit Lintang kira-kira pukul 2.30 pagi bersama barangan yang dicuri. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad (gambar kecil) berkata, kejadian disedari mangsa berumur 38 tahun selepas mendakwa kepalanya terasa disentuh oleh tangan suspek sebelum melihat beg tangan yang diletakkan di depannya dilarikan lelaki berkenaan. 

"Suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kancil sebelum dia berjaya dikesan dan ditangkap di Kampung Bukit Lintang semalam. 

"Pemeriksaan pada suspek turut menjumpai barangan milik mangsa termasuk kad pengenalan wanita tersebut dan anak-anaknya serta kad bank," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Katanya, kesemua barangan peribadi itu telah dipulangkan kepada mangsa yang juga merupakan seorang juruukur bahan. 

Afzanizar berkata, siasatan lanjut mendapati suspek juga memiliki empat rekod lampau jenayah termasuk tiga membabitkan kes dadah. 

"Suspek kini direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.  -K! ONLINE