Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner, Che Zaimani Che Awang berkata, lelaki berusia 39 tahun yang ditahan itu pernah menerima rawatan mental di Hospital Pulau Pinang dan dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Lelaki yang masih bujang dan tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan selepas kejadian yang berlaku pukul 4.30 petang semalam dan berdasarkan rekod kesihatan dia pernah menerima rawatan mental.

"Siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian dipercayai kerana masalah mental namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata doktor berusia 50-an yang mengalami kecederaan kira-kira 30 peratus melecur di bahagian badan dan muka serta jururawat wanita berusia 30-an yang melecur lima peratus kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang. Mereka dilaporkan dalam keadaan stabil.

Che Zaimani berkata, seorang pesakit wanita warga Taiwan yang turut cedera dalam kejadian itu juga dirawat di hospital swasta berkenaan.
Beliau berkata suspek yang cedera di tangan dan badan turut menerima rawatan sebelum dia ditahan.

Dalam kejadian petang semalam, lima termasuk seorang doktor dan tiga jururawat di sebuah hospital swasta di sini melecur akibat terbakar selepas seorang lelaki bertindak menuang petrol sebelum menyalakan api dalam kejadian di unit urologi hospital berkenaan semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, seorang lelaki yang membawa sebotol cecair dipercayai petrol memasuki sebuah bilik di unit berkenaan dan memeluk seorang doktor lelaki yang sedang bertugas sebelum mencurah petrol pada badan mereka dan menyalakan api. - Bernama