Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, kebanyakan balai bomba itu telah lama dibina dan berada di lot bangunan kedai yang tidak sesuai kedudukannya berikutan pertumbuhan pesat di kawasan tersebut.

"Kebanyakannya dibina sewaktu bandar atau kawasan itu belum membangun, jadi apabila sudah membangun, penduduk pula semakin ramai. Kita kena lihat kesesuaian dan kaji semula penempatannya.

"Setakat ini kementerian telah kenal pasti lebih 60 balai bomba yang perlu dikeluarkan dari kawasan bangunan kedai untuk dibina semula di tempat baharu dalam tempoh lima tahun," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin bernilai RM14 juta yang siap pada 13 September 2013 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Seri Mohamad Mentek, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Hamdan Wahid, Pengarah JBPM negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin serta Ahli Parlimen Temerloh, Anuar Tahir. - Bernama