Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, beberapa buah rumah rosak teruk apabila sebahagian struktur rumah ranap dengan keseluruhan bumbung diterbangkan angin.

Antara kampung yang terlibat adalah Kampung Bukit Besar, Kampung Haji Hashim Gelam, Kampung Batu 11, Kampung Alor Pinggu, Kampung Haji Lateh dan kawasan Sungai Limau.

Penduduk Kampung Alor Pinggu, Bashiroh Hashim, 48, berkata, kejadian ribut mengakibatkan banyak rumah di kampungnya rosak teruk.

"Ribut seperti pusaran angin itu menerbangkan bumbung rumah ke kawasan sawah berhampiran selain terdapat beberapa pokok tumbang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Yan, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, setakat ini sebanyak 31 buah rumah terjejas dengan jumlah mangsa terlibat seramai 186 orang. - K! ONLINE