Kesemua daerah itu melibatkan Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat, Kuala Selangor selain Kuala Lumpur.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, penutupan bekalan air itu bagi memberi laluan kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) yang akan dilaksanakan pada jam 9 pagi 23 Julai ini.

Katanya, pelaksanaan kerja-kerja tersebut sejajar dengan matlamat bagi meningkatkan kecekapan sistem bekalan air kepada pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kerja-kerja penambahbaikan ini akan menyebabkan henti tugas loji sepenuhnya.

“Oleh itu beberapa kawasan di Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air berjadual,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Air Selangor, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung pada lokasi geografi dan altitud premis pelanggan.

Jelasnya, sebanyak 15 pusat khidmat setempat (PKS) akan diaktifkan pada jam 8 pagi, 25 Julai ini.

“Pengguna boleh semak kawasan, dapatkan maklumat gangguan serta status terkini dengan memuat turun aplikasi telefon bimbit ‘Air Selangor’ di Google Play atau App Store.

“Maklumat juga boleh diperoleh dengan melayari laman sesawang www.syabas.com.my atau hubungi talian 15300 atau WhatsApp ke nombor 019- 2800919 atau 019-281679 untuk pertanyaan dan bantuan,” katanya.

Difahamkan satu sidang akhbar berkaitannya akan diadakan pukul 2.30 petang di Ibu Pejabat Air Selangor, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur. - K! ONLINE