Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, penahanan itu hasil daripada 6,019 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.

"Selain itu, 455 majikan yang masih berdegil menggaji atau melindungi PATI turut ditahan sepanjang tempoh ini," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mustafar berkata, daripada keseluruhan PATI yang ditahan, jumlah tertinggi adalah warga Indonesia melibatkan 6,315 orang dan diikuti Bangladesh (3,403), Filipina (1,956), Myanmar (1,748), manakala bakinya dari negara-negara lain.

Bagi Program Penggajian dan Penempatan Semula pula, beliau berkata, sejak 1 Januari lepas sehingga semalam, seramai 744,942 PATI dan 83,919 majikan telah mendaftar untuk program itu. 

Daripada jumlah itu katanya, seramai 482,535 merupakan PATI warganegara Bangladesh, Indonesia (118,115), Myanmar (43,860), India (32,992) dan selebihnya dari lain-lain negara sumber.

Di bawah program serah diri secara sukarela iaitu Program 3+1, katanya, 92,280 PATI mendaftar dan pulang ke negara asal melalui program berkenaan. 

"Daripada jumlah ini, 53,129 PATI melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan 39,151 PATI melakukan kesalahan tiada pas atau permit yang sah," katanya.

Mustafar berkata, Jabatan Imigresen komited menyahut seruan Menteri Dalam Negeri yang baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menangani isu berkaitan PATI dan warga asing di negara ini.

"Jabatan Imigresen memberi jaminan akan mengambil segala langkah perlu dan tindakan tegas tanpa kompromi untuk menangani isu-isu berkaitan PATI dan warga asing yang melakukan kesalahan," katanya. - Bernama