Pengendali skuad kebangsaan itu menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu permulaan cemerlang dalam karier kejurulatihannya.

Cheng Hoe, 50, merupakan penolong kepada bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal yang membantu Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki buat julung kali pada edisi 2010.

"Saya rasa itu (layak ke final) baru permulaan baik sepanjang karier kejurulatihan saya dan perjalanan saya masih jauh.

"Saya nak terus bersama pemain negara, dan sekiranya mereka betul-betul berdisiplin dan mengekalkan sikap sedia ada, saya rasa mereka boleh membantu skuad negara untuk beberapa tahun lagi," katanya ketika ditemui pemberita setibanya skuad negara dari Bangkok di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini. - Bernama