Pihak berkepentingan di Malaysia dan Indonesia berharap lawatan pertama Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dapat mencari jalan penyelesaian pelbagai isu bersama di samping terus mengukuhkan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Jakarta.

Paling ketara adalah berkaitan tenaga kerja Indonesia di Malaysia, isu yang telah lama dibincangkan dalam pelbagai mesyuarat dan perjumpaan peringkat tertinggi tetapi masih tiada penyelesaian, selain kerjasama ekonomi kedua-dua negara.

Wakil komuniti sekolah agama, yang juga Setiausaha Agung Himpunan Alumni Karangdurin (Himaka) Malaysia, Cholis Weibi berkata, hubungan pasang surut dua negara berjiran itu bakal mempunyai kemajuan luar biasa jika pelbagai isu membabitkan pekerja Indonesia dapat dinoktahkan dalam lawatan kerja Jokowi itu.

"Pergeseran dalam isu itu adalah biasa. Namun sejak dua tahun kebelakangan ini, ia bertambah baik. Saya percaya, ia pasti dapat menemui kemajuan jika diselesaikan. Saya lihat pemerintahan kedua-dua negara menggunakan pendekatan sangat baik dalam menyelesaikan apa-apa masalah.

"Kita dapat lihat komunikasi semakin baik dalam hubungan dua hala ini. Malah saya percaya, ia akan bertambah erat karana kita serumpun dan mempunyai budaya, pakaian, makanan yang seakan mirip dan sama antara satu sama lain," katanya kepada Bernama.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, Jokowi akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini yang dijangka mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia akrab antara Malaysia dan Indonesia.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Patriot Negara Malaysia, Mohd. Al Iman Zakaria, beliau percaya lebih banyak perbincangan dan perkongsian perlu diadakan di peringkat institusi pengajian tinggi swasta dan awam membabitkan kedua-dua pihak dalam menyelesaikan isu pekerja asing.

Tegasnya, input daripada perbincangan dan perkongsian itu dapat diguna pakai kepimpinan dan pentadbiran kedua-dua negara dalam mencari penyelesaian selain merangka langkah ke depan bagi mengelakkan masalah bersama berulang pada masa hadapan.

"Kami percaya, ini antara langkah menyelesaikan pelbagai isu membabitkan Kuala Lumpur-Jakarta yang selama ini mungkin tidak ditangani dengan baik dan sempurna," katanya. - Bernama