Anak kedua mangsa, Ezzra Noorakhirludin Alam, 15, berkata, semasa kejadian, bapanya dan ibunya, Maskiah Mat Saad, 41, dan adik bongsunya, Ezzudin,11, dalam perjalanan dari Bertam, Pulau Pinang menuju ke ibu negara.

“Mereka datang untuk melihat dan memberi sokongan kepada saya bagi menjayakan persembahan kebudayaan di sekolah.

“Mereka mahu datang esok dan ayah sudah berjanji untuk bawa kami berjalan-jalan selepas itu, tetapi hasratnya tidak kesampaian,” katanya kepada pemberita di hadapan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.
 
Ezzra menambah, ayahnya juga sudah berjanji untuk menghantarnya semula ke sekolah pada Ahad ini.

“Saya ada peperiksaan pada hari Jumaat ini dan akan pulang ke Pulau Pinang pada hari yang sama selepas selesai kesemuanya.

“Ayah dah kata nak hantar saya pulang semula ke sekolah tetapi sekarang dia sudah pergi meninggalkan kami untuk selamanya,” ujarnya.

Dia turut meminta orang ramai mendoakan adik bongsunya, Ezzudin yang cedera parah dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh di sini. - K! ONLINE