Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, premis-premis seperti itu turut melibatkan perokok pasif yang akan mendedahkan risiko penyakit kepada rakyat terutamanya kanak-kanak.

"Tadi saya berkesempatan memerhatikan apa lagi tempat-tempat awam seumpama kedai dobi untuk melaksanakan kawasan larangan merokok.

“Dobi juga adalah tempat yang ada orang merokok dan mendedahkan asap rokok pasif kepada anak-anak di situ. Kami akan menambah premis larangan merokok dari masa ke semasa,” katanya ketika membuat tinjauan dalam program ‘Walkabout promosi tempat makan sebagai kawasan larangan merokok’ hari ini.

Tambah beliau lagi, penguat kuasa itu bermula dengan pendekatan mendidik rakyat supaya mematuhi larangan merokok sebelum ia dikuat kuasakan sepenuhnya kelak.

Katanya, tempoh kompaun akan dimulakan dalam masa enam bulan lagi dan berharap larangan itu akan terus dipraktikkan oleh rakyat mulai hari ini.

“Dalam pelaksanaan program ini, memang kita izinkan satu tahap untuk diperkenalkan betul-betul dahulu, bukan untuk menghukum perokok. Kami mahu rakyat ambil berat tentang kesihatan sama ada pemilik premis dan warga negara kita sendiri.

“Ini langkah untuk memastikan masyarakat sihat dan negara yang sihat. Sebab itu semua pelaksanaan tersebut ada aspek waktu yang kita izinkan rakyat untuk memahami dahulu larangan ini,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 5,008 orang penguat kuasa daripada Kementerian Kesihatan dikerah bagi melakukan pemantauan larangan itu di seluruh negara yang bermula hari ini.

Larangan tersebut berkuat kuasa melibatkan semua premis makanan seperti restoran tertutup, berhawa dingin dan warung konsep terbuka. - K! ONLINE