Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Rabu lalu telah meluluskan permohonannya untuk membentangkan laporan kehilangan kapal terbang Malaysia Airlines (MAS) itu dalam satu sesi taklimat kepada keluarga mangsa dan masyarakat umum.

"Bagaimanapun, saya tidak akan terlibat dalam sesi pembentangan laporan itu yang diadakan secara eksklusif kepada ahli keluarga mangsa (pesawat) MH370.

"Sebaliknya, ia dikendalikan oleh Ketua Penyiasat Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 Malaysia untuk MH370, Datuk Kok Soo Chon," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Anthony menambah, pihaknya menghormati penyiasatan dan pembentangan laporan yang dilakukan oleh pasukan berkenaan.

"Kami komited kepada ketelusan laporan itu. Mereka (pihak penyiasat) akan menjawab setiap persoalan yang dikemukakan oleh ahli keluarga mangsa dan pihak media.

"Laporan itu akan dibentangkan secara sepenuhnya, tiada penyuntingan atau pertambahan ayat. Setiap perkataan yang dirakam akan dibentangkan dalam laporan tersebut.

"Setiap keluarga (mangsa), pihak media dan kedutaan asing di negara ini akan diberikan satu set laporan itu bersama-sama dengan lampiran-lampiran data (penyiasatan)," jelasnya.

Beliau berkata, kesemua keluarga mangsa kini sedang dihubungi oleh pihak MAS untuk hadir pada sesi taklimat yang akan dibuat secara tertutup itu pada sebelah pagi.

"Selepas itu, satu sidang akhbar akan diadakan pada sebelah petang hari yang sama. Kami akan memberikan perincian mengenai sidang akhbar itu dalam sedikit masa lagi.

"Laporan itu juga akan dibentangkan kepada ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 31 Julai ini serta dimuat naik di laman web rasmi Kementerian Pengangkutan," katanya. - K! ONLINE