Menurut Zakaria Naim, 60, dia dan isterinya bersama tiga anak serta tiga cucu mengambil keputusan bermalam di dalam lori tiga tan itu selepas ruang yang disediakan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam terhad. 

"Khemah di PPS SK Belimbing Dalam hanya muat empat orang sahaja bagi setiap keluarga. Jadi kami ambil keputusan tinggal di dalam lori milik majikan menantu saya ini sementara menunggu air surut," katanya ketika dihubungi ditemui di rumahnya di sini hari ini. 

Katanya, dia sekeluarga menggunakan lori itu untuk tidur, berehat, solat dan menyimpan barang-barang berharga. 

Zakaria sekeluarga antara 343 penduduk yang terjejas di Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Pulau, Durian Tunggal yang dilanda banjir kilat sejak semalam.

“Saya harap isu masalah banjir yang sudah berlarutan sejak 1970-an dapat segera di atasi kerajaan negeri dan kalau boleh kami mahu cepat berpindah dari tanah rizab kereta api sekiranya ditawarkan rumah rakyat bersesuaian dengan pendapatan kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali dalam kenyataannya hari ini berkata, seramai 1,117 mangs banjir direkodkan dengan enam PPS dibuka di Alor Gajah dan dua di Melaka Tengah setakat pukul 12 tengah tadi. 

Antara kawasan terjejas di Alor Gajah adalah di Kampung Gadek, Paya Datuk, Bukit Balai, Bukit Tambun, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah.

Manakala bagi daerah Melaka Tengah kawasan terlibat di Taman Tamby Chik Karim, Taman Merdeka Jaya, Taman Krubong Jaya, Kampung Lanjut Manis, Kampung Tanah Merah, Kampung Sungai Badau dan Kampung Tampoi. - K! ONLINE