Kesemua tertuduh, Sarjan Hanny Itam, 34; Norazizan Awang, 34; Lemay Uda Jamil, 34; Laies Pa Engah, 36; Ramlan Dollah, 24; Jassiva Pandak, 29; Azwan Alim, 28, dan Irwan Ngah, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka secara bersama-sama telah menyebabkan kematian Mohd. Azrin Mohd. Arif, 36, di Kampung Chenderung Kelubi di Tanjung Tualang antara pukul 12 tengah malam hingga 3.30 pagi pada 5 April 2013.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Abdullah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Julie Lack sebelum menetapkan tarikh sebutan semula kes tersebut menasihatkan kesemua tertuduh agar melantik peguam berikutan tuduhan berat yang dikenakan ke atas mereka.

"Tuduhan ini merupakan kes berat dan kamu semua dinasihatkan untuk melantik peguam. Jika tidak mampu, kamu boleh berhubung dengan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)," katanya.

Mahkamah menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula kes dan kesemua tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, tujuh lelaki ditahan dalam tangkapan berasingan antara 29 Januari hingga 2 Februari lalu di Kampung Chenderung Kelubi di Sungai Galah, Tanjung Tualang manakala seorang anggota tentera pula ditangkap di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, Perlis dua hari kemudian.

Kesemua mereka ditahan bersabit kes penemuan mayat seorang lelaki yang ditemui terapung di Lombong Kapal 7, Pulau Burung Sungai Galah di Kampung Gajah, enam tahun lalu. - K! ONLINE